♠ Pengenalan ♠
Permainan kikik merupakan permainan tradisional warisan turun temurun yang menjadi kebanggaan komuniti Melayu di Negara Brunei Darussalam. Kikik merupakan sejenis alat permainan yang diperbuat daripada kertas yang dapat diterbangkan dengan menggunakan tali ataupun yang biasa digunakan ialah benang ataupun tangsi . Apabilanya ada kikik, maka 'pandaian' memainkan peranan penting sebagai seorang yang mahir dalam pembuatan kikik atau memainkan kikik .
Musim bermain kikik di Brunei tidaklah tentu. Biasanya orang di Kampong Ayer yang terlebih dahulu memulakannya. Mereka akan bermain di sepanjang perairan Sungai Brunei,bermula dari Kampong Saba membawa ke Kampong Burong Pingai ayer, lalu menyeberang ke Kampong Tamoi Ujong dan terus ke Kampong Pengiran Pemancha Lama, dari Kampong Sumbiling terus ke Kampong Bukit Salat, Kampong Sungai Kedayan, Kampng Ujong Bukit, Kampong Limbongan, Kampong Ujong Tanjong dan Kampong Sultan Lama.
Kebanyakan yang bermain kikik terdiri daripada orang Melayu dan hanya sedikit yang terdiri daripada kaum Cina yang turut menduduki di Kampong Sultan Lama, Kampong Kianggeh, Kampong Setia Pahlawan Lama, Kampong Berangan dan Kampong Pekan Lama.Permainan kikik ini tidak mengenal usia, sama ada dari golongan kanak-kanak mahupun orang dewasa,malahan kikik juga turut menjadi sambutan kepada orang-orang tua yang minat bermain kikik.
Daripada hasil kajian pengkaji, kikik pada masa kini tidak hanya dimainkan dikalangan penduduk Kampong Ayer, bahkan ia telah dimainkan dikalangan penduduk yang tinggal di darat seperti di Perumahan Kampung Rimba dan juga di kawasan pantai Brunei seperti Pantai Tungku dan Pantai Jerudong.Perubahan ini adalah disebabkan penghijrahan sesetengah penduduk Kampong Ayer yang berpindah ke darat.